Perlu tahu, Tapi Jangan Tuju
NERAKA. Bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. Manakala penjaganya adalah malaikat yang gagah perkasa lagi bengis. Apinya sangat panas berjuta kali ganda berbanding kepanasan api di dunia ini. Jika api itu jatuh ke bumi walaupun sebesar hama, nescaya hancur lebur dunia ini. Itulah gambaran kepanasan api neraka. Semua ini telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam kitab-NYA al-Quran Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud :
“Wahai orang beriman jagalah dirimu, keluargamu daripada api neraka. Bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Sedangkan penjaganya adalah malaikat yang gagah lagi bengis. Mereka tidak menderhaka Allah, mereka melakukan apa saja yang diperintahkan kepadanya.”
Di neraka, Allah SWT menciptakannya khusus bagi orang kafir dan termasuklah golongan yang ingkar suruhan dan perintah Allah SWT. Mereka diseksa dan dibakar di dalamnya. Amat mengerunkan. Takut. Amat menakutkan.
Neraka sebenarnya berasal daripada perkataan “Ibrani” bermaksud “unggun api” di mana menjadi tempat seksaan Allah yang dikhususkan untuk golongan ingkar kepada perintah-Nya ketika di dunia ini. Manakala terdapat tujuh nama dan pembahagian tingkatan neraka menurut Syeikh Dahak Al-Ahbar yang kemudian dipersetujui ahli tafsir dan Usuluddin, antaranya Syeikh Qurthubi dan Imam Al-Ghazali yang sedia menanti penghuni-penghuninya yang ingkar terhadap perintah dan suruhan Allah SWT ialah :
Neraka Jahannam
Tingkat teratas. Neraka ini bermula dari tingkat paling atas sehingga ke terakhir (bawah). Ia seburuk-buruknya dan penghuni kekal di dalamnya. Tempat istimewa ini bagi orang-orang kafir dan mereka kekal di dalam selama-lamanya. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT di dalam surah an-nisa’ ayat 169 yang bermaksud :
“Orang kafir dan orang aniaya, mereka tidak diampunkan Allah dan tidak pula ditunjukkan jalan melainkan ke Neraka Jahanam. Mereka kekal dalam neraka itu selamanya. Yang demikian itu mudah sekali bagi Allah”.
Luza
Tingkat kedua yang dihuni pendusta agama Allah dan berpaling daripada ajarannya. Firman Allah bermaksud:
“Sebab itu Kami beri khabar menakut kamu dengan Neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya melainkan orang celaka, iaitu orang mendustakan agama dan berpaling daripadanya.” (surah Al-Lail: 14-16)
Hathamah
Neraka tingkat ketiga tempat mereka yang lalai dalam mengerjakan perintah Allah kerana dipengaruhi harta dunia.
Sair
Tingkat ke empat neraka dihuni mereka yang makan harta anak yatim. Mata dan telinga mereka menjadi buta dan pekak manakala kulitnya tebal seperti Jabal Uhud.
Saqru
Neraka tingkat kelima, antara penghuninya ialah orang tidak bersolat, percaya kepada perkara bidaah, tidak memberi makan orang miskin dan tidak percaya kepada Hari Pembalasan.
Jahim
Neraka tingkat keenam. Penghuninya melakukan dosa besar seperti berzina, membunuh, mendustai agama Allah dan minum arak.
Hawiyah
Neraka paling bawah menempatkan orang memusuhi Nabi. Walaupun neraka ini paling bawah, apinya sangat panas. Firman Allah SWT bermaksud:
“Siapa yang ringan timbangan, dia dilemparkan ke Neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah? Ia adalah api yang sangat panas. “ (surah Al-Qariah: 8-11)
Kesimpulannya, itulah tujuh nama neraka dan tingkatannya. Di setiap tingkatannya terdapat kategori penghuni masing-masing. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengingati selalu peringatan Allah SWT supaya sentiasa menjaga diri dan keluarga daripada menjadi bahan bakar api neraka yang di dalamnya sangat panas lagi pedihhh. Wallahu A’lam.
Comments
Post a Comment